Wednesday, December 21, 2011

Cinta itu Dia yang beri. =)

21122011
~ Syukur.DIA masih beri CINTA. Dia masih kekal SETIA. ~

Berkata – kata tentang rasa cinta. Mungkin cerita di bawah ini tidak memberi apa – apa manfaat. Aku khabarkan siap – siap, sebab panjang karangan aku kali ini. Jadi kalau rasa tak sanggup untuk baca, tak mengapa. Andai cerita ini membawa manfaat, syukur. Dan jika anda dapat mentafsir maksud tersurat dan tersirat di sebalik cerita ini, berterima kasihlah kepada akal dan fikiran anda sendiri. =)

~~ Aku tak sempurna. Saban hari aku berdoa, agar Allah kurniakan aku cinta yang dapat bimbing aku menuju jalanNya. Moga aku juga mendapat tempias rahmat hambaNya yang sentiasa mencari redha Illahi. Cumanya, aku ini masih lagi bertatih. Tiap kali langkah aku buka, tiap kali itu juga acapkali aku terjatuh; rebah mencium bumi. Jadi aku mahu cinta yang fahami aku, ya Allah. Aku mahu cinta yang nampak usaha aku yang perlu masa, yang belum mampu lagi untuk berlari di jalanMu. Hadirkanlah padaku insan yang dapat membimbing aku dengan kefahaman aku, bukan dengan taksubnya dia untuk mengubah aku.

Satu tika, telah Dia makbulkan doa yang aku panjatkan untukNya. Dia hadirkan aku seorang insan yang baik budi pekertinya, yang santun bicaranya, yang senang aku mendampinginya. Orangnya tidaklah taksub untuk menarik dan memaksa aku menuju jalan keredhaan. Tapi dia ambil masa untuk kenali aku. Dia cuba kenali cara hidupku, kenali sifat – sifat diriku. Kebetulan, Tuhan buka mata hati aku untuk dia pada ketika dia juga sedang dalam perjalanannya sendiri, mengejar dan mencari kasih Illahi. Dan dengan perlahan, dia kongsi ilmu yang dia ada bersama aku. Sedikit demi sedikit, dia fahamkan aku tentang indahnya cinta Allah pada hambaNya yang taat setia. Dia tak pernah memaksa. Dia pujuk jiwa degil aku dengan ayat – ayat kalam Allah. Dia tegur aku dengan sunnah- sunnah Rasulullah.

Syukur, Alhamdulillah. Tuhan dengar doaku. Tuhan makbulkan doaku yang satu itu. Tapi terkadang, terdetik di hati kecilku. ‘Insan ini terlalu baik buat diriku. Insan ini tidak sepatutnya menjadi pembimbing aku. Tidak layak diriku yang hina ini untuk mendampingi dia. Terlalu jauh beza antara aku dan dia! ‘

Tiap kali apabila perasaan itu tiba, segera aku beristighfar. Aku muhasabah diri. Aku bermonolog sendiri. ‘ Bukankah dahulu kau berdoa agar kau dikurniakan seorang insan yang dapat membimbing kau? Bukankah dahulu kau yang minta agar Tuhan hadirkan insan yang dapat memahami kau? Bukankah dahulu kau yang pohon Dia temukan kau dengan insan yang juga sama arah tuju hidupnya dengan kau? Bukankah itu semua doa yang saban hari, siang dan malam kau panjatkan untuk Illahi?’

‘Jadi apa yang tidak kena dengan dirimu wahai manusia? Apa lagi yang membuat kau rasa tidak puas hati? Dah Tuhan makbulkan doa kau, dah Tuhan hadirkan insan seperti doa itu di sisimu, telah Tuhan berikan padamu seorang insan yang boleh menjadi peringatan buat dirimu acapkali kau tersasar dari jalanNya. Telah Tuhan buka pintu hatimu untuk dia, walau untuk setelah sekian lama. Telah Tuhan buka pintu hatinya untuk berada disampingmu. Jadi nyatakan wahai hati, apa lagi yang tidak kena pada jiwamu? ‘ ~~

Setiap doa yang kita panjatkan pada Illahi, insyaAllah akan Dia kotakan. Selagi kita tidak menyerah kalah, selagi kita sentiasa mengingati Dia, insyaAllah akan dia makbulkan setiap satu harapan dan impian kita. Cuma apa yang perlu kita lakukan, sentiasalah berserah dan redha akan ketentuan dan takdirNya. Dia Maha Mengetahui, Maha Menguasai setiap sesuatu.

Setelah kau berdoa, berusahalah. Tawakal dan redha atas apa jua yang Dia telah, atau bakal berikan padamu. Andai doamu telah dimakbulkan Illahi, janganlah pula kau cuba persoalkan cerita yang Dia dah tuliskan untukmu. Dia lebih tahu, kerana Dia yang menciptakan kau dan aku.

“ Percayalah. Yakinlah.
Dia tak pernah salah.
Dia tak pernah rebah.
Kerana itu namaNya Allah. “ =)

p/s:
* maaf atas penggunaan ‘aku-kau’. :)
* maaf, sengaja aku buka topik atas cinta. ^^
* maaf andai tersentuh mana – mana pihak. :)
* cerita hanya sekadar ilusi minda dan hati. ^^

[‘AmyraRamlan.22122011]

No comments:

Post a Comment